Malaysia memiliki komposisi penduduk yang terdiri daripada kepelbagaian budaya dan bangsa. Hubungan harmoni yang terjalin sesama kaum ini akan memperkukuhkan lagi kedaulatan dan pembangunan Negara. Keharmonian yang terhasil daripada perpaduan antara rakyat Malaysia merupakan satu keistimewaan dan juga daya tarikan kepada pelabur asing untuk melabur di negara kita.
Agenda perpaduan sentiasa dititikberatkan kerana dengan bersatu hati kita dapat membina sebuah negara yang aman damai, sejahtera dan rakyatnya sentiasa mementingkan perpaduan dan negara aman, politiknya tidak huru-hara, serta ekonomi yang baik dan dapat menarik minat pelabur asing.
Secara umumnya, perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik dalam sesebuah negara bukanlah suatu perkara asing. Persoalannya, bagaimana kita menangani isu ini secara berhemah agar kita dapat meluahkan perasaan hati tanpa menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.
Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Justeru, masyarakat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Malaysia pada masa sekarang berada dalam proses pembangunan yang akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global yang besar. Dengan itu, negara kita amat memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.
Sebarang kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara kita sendiri dan membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin dahulu.